MAKKAH – Aksi comel seekor kucing yang seakan-akan bersabar dan menunggu untuk berbuka puasa bersama-sama dengan jemaah di Masjidil Haram di kota Makkah, dipuji ramai netizen menerusi laman-laman media sosial.
Kucing itu dengan penuh tenang, duduk bersimpuh bersama-sama ratusan ribu lagi jemaah lain di hadapan jamuan iftar, malah tidak menyentuh pun makanan di hadapannya, menurut laporan akhbar ternama, Arab News.
Gambar yang menunjukkan pemandangan luar biasa itu kini menjadi viral dalam pelbagai laman media sosial di seluruh dunia, bahkan pelbagai reaksi positif diluahkan oleh para pengguna media maya seperti di Twitter.
Seorang pengguna Twitter, Amed Al-Jawhari, menulis di laman sosial itu bahawa ia menunjukkan betapa haiwan juga hormat dan menyembah Allah SWT termasuk menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan al-Mubarak.
“Ia seolah-seolah menunjukkan kucing tersebut sudah menempah tempatnya untuk berbuka puasa di tempat iftar jemaah di Masjidil Haram,” kicau beliau sebagai mengulas foto disebarkan pengguna bernama Abu Hudhayfah.
Mohammed Massad pula mengirim kicau: “Ia merupakan gambar yang paling indah bagi menunjukkan seekor kucing sanggup duduk di tempat iftar bersama para jemaah lain dan menunggu untuk berbuka puasa bersama.”
Asael Bukhari pula menulis kicauan, gambar itu menunjukkan Islam menghormati hak asasi haiwan. Meskipun kucing itu datang dan duduk di kalangan para jemaah di tempat iftar, tiada sesiapa yang mengangkat kucing itu.
“Sebaliknya, para jemaah di sekelilingnya seperti seronok menyaksikan telatah kucing itu tanpa ada sesiapa pun cuba menghalau haiwan comel ini, padahal mereka boleh sahaja berbuat demikian,” kicau beliau.
Seorang lagi pengguna media sosial, Azmat Ahmed, berkata ia sesuatu yang menakjubkan untuk menyaksikan bagaimana binatang juga amat menghormati ibadah puasa wajib dan menanti kedatangan iftar untuk makan.
Ini kerana kucing pada kelaziman tidak menunggu apabila makanan sudah diletakkan di hadapan mereka tetapi kucing ini pula seolah-olah rela bersabar menunggu azan Maghrib dikumandangkan oleh muazin masjid.
“Tatatertib sedemikian menunjukkan haiwan juga tahu tentang Ramadan dan pentingnya berpuasa, amat malu bagi umat Islam yang sihat tubuh badan pula tidak berpuasa” tambah Ahmed. – Agensi/Mynewshub/HAA
sumber : mynewshub.cc
Share
& Comment
Tweet